Sambutan Krismas & Hari Raya Aidil Fitri


Krismas  

Hari Krismas atau juga dikenali sebagai Hari Natal, adalah perayaan terbesar untuk penganut agama Kristian, disambut setiap tahun pada tarikh25 Disember bagi memperingati kelahiran Jesus dari Nazareth, pengasas ajaran Kristian. Menurut Kitab Bible Perjanjian Baru, Jesus dilahirkan oleh Maria (Virgin Mary) di Jurusalem. Penganut Kristian mempercayai bahawa kelahiran Jesus ini menepati ramalan-ramalan agama Yahudi mengenai kedatangan seorang penyelamat (Messiah) dari susur galur Raja David, yang kedatangannya adalah untuk menebus manusia dari dosa-dosa Adam (original sin).
Adat resam moden perayaan ini termasuk pemberian hadiah, sambutan keagamaan di gereja, dan peragaan pelbagai hiasan, termasuk pokok Krismas, lampu hiasan, daun mistletoe, holi atau lakonan semula kelahiran Jesus (Anunciation). Santa Claus adalah merupakan tokoh mitos terkenal yang sering dikaitkan dengan adat memberi hadiah sempena Hari Krismas. Santa dipercayai merupakah hasil gabungan St. Nicholas dari Myra dan unsur-unsur Mitologi Nordic dengan mitologi Kristian, sementara penampilan modennya dipercayai hanya timbul pada abad ke-19.
Sambutan Hari Krismas sangat penting bagi gereja, iaitu sewaktu untuk mengadakan upacara atau majlis sambutan istimewa. Berikut ialah cara-cara Krismas disambut di gereja. Paparan kelahiran Jesus Christ
Kebanyakan gereja mengamalkan adat memaparkan babak kelahiran Jesus. Dimulai oleh St. Francis dari Asissi pada abad ke-13, tradisi yang berasal dari Itali ini diperluaskan ke banyak negara lain.
Babak kelahiran ini dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis, diperbuat dari pelbagai bahan termasuk kayu, tembikar, kertas, kain, jerami, dan logam yang berwarna-warni.
Lingkaran Kedatangan (Advent wreath) ialah selingkaran daun-daun pain, ivy dan holi, dengan lima batang lilin di dalamnya yang digantung di dalam gereja. Lilin-lilin ini dinyalakan pada setiap Ahad pada musim Kedatangan, dan lilin di tengah dinyalakan pada pagi Hari Krismas. Gereja selalu dihiasi dengan dahan dan daun hijau, di samping juga dimasukkan pohon Krismas.

Pembacaan kitab

Pada hari Krismas, diadakan sesi pembacaan kitab yang menceritakan kisah kelahiran Jesus yang terkandung di dalam kitab Bible, di samping bacaan-bacaan suci lain yang mengisahkan tentang bahaya kerakusan hawa nafsu manusia, dan mengenai datangnya Penyelamat (Messiah) yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa manusia.

Karol

Kebanyakan gereja juga mengamalkan upacara nyanyian karol yang dipersembahkan di dalam suasana nyalaan lilin, kebanyakannya melibatkan nyanyian atau bacaan suci Bible oleh koir dan juga para penganut yang taat.





                    Hari Raya Aidil Fitri



Hari Raya Aidilfitri (Arab: عيد الفطر‎; 'Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu,India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.
Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik
Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan.
Simbol terkenal bagi perayaan Hari Raya di Malaysia ialah ketupat. Ketupat adalah juadah istimewa yang masih dihidangkan pada hari ini.
Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri(selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri), umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.Baju Melayu adalah pakaian tradisi kaum Melayu yang dipakai oleh kaum lelaki di Malaysia pada Hari Raya. Pakaian ini dilengkapi dengan songkok dan lilitan songket di bahagian pinggang. Pakaian yang menjadi kebiasaan kaum wanita pula ialah Baju kurung dan Baju kebaya.